Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, cuba mengambil pendekatan yang mudah selepas Perancis terselamat daripada pertembungan pusingan 16 Piala Dunia 2026 apabila bergelut untuk menundukkan Paraguay 1-0, semalam.
Perancis menamatkan perlawanan dengan tiga kad kuning yang dihadiahkan oleh pengadil dari Uzbekistan, Ilgiz Tantashev, terhadap Manu Kone, Bradley Barcola dan Michael Olise sekalipun Paraguay lebih gemar bertahan.
Bagaimanapun, situasi itu sudah dijangkakan Deschamps yang lega barisan tidak terperangkap dengan perang saraf yang dilancarkan pihak lawan sambil penjaring gol kemenangan Les Bleus, Kylian Mbappe, mengelak daripada termakan provokasi berterusan daripada Paraguay.
"Saya telah melihat banyak perkara," katanya dalam sidang media pasca perlawanan.
"Saya telah mempersiapkan pemain. Kami sudah menjangkakannya.
"Saya tidak mahu mengkritik Paraguay. Setiap pasukan berhak beraksi seperti yang mereka mahukan. Tetapi terdapat beberapa cemuhan daripada di bangku simpanan pihak lawan yang menjelekkan.
"Yang paling penting ialah pada akhir perlawanan, tiada perselisihan faham dan kami (tidak) memungut kad lagi.
"Kami mengutip tiga kad kuning sekalipun menanggung banyak kekasaran."
"Saya tidak mengatakan bahawa kami tidak melakukan sebarang kekasaran, namun terdapat banyak kekasaran daripada kedua-dua pasukan."