Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia 2026: 52 tahun berlalu, Belanda, Sweden kembali bertemu dalam satu gelanggang!

Piala Dunia 2026: 52 tahun berlalu, Belanda, Sweden kembali bertemu dalam satu gelanggang!

Pertembungan antara Belanda dan Sweden dalam saingan Kumpulan F Piala Dunia 2026 bukan sekadar perebutan tiga mata, tetapi turut mengimbau salah satu detik bersejarah dalam bola sepak dunia.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di pentas Piala Dunia adalah pada edisi 1974 di Jerman Barat. Ketika itu, Belanda yang dibarisi legenda agung, Johan Cruyff, mendominasi keseluruhan perlawanan namun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Walaupun aksi itu berakhir 0-0, ia kekal terpahat dalam sejarah bola sepak. Dalam perlawanan tersebut, Cruyff berjaya melakukan 11 gelecek berjaya dan buat pertama kali mempamerkan gerakan ikonik yang kemudiannya dikenali sebagai 'Cruyff Turn' -- satu kemahiran yang terus diwarisi oleh generasi pemain sehingga hari ini.

Lebih lima dekad kemudian, kedua-dua negara kembali dipertemukan dalam suasana yang berbeza. Belanda hadir dengan reputasi sebagai antara pencabar utama kejohanan selepas memulakan kempen dengan keputusan seri 2-2 menentang Jepun, manakala Sweden tampil penuh keyakinan selepas membelasah Tunisia 5-1 dalam aksi pembukaan mereka.

Kedua-dua pasukan kini berkongsi sasaran yang sama, iaitu memburu kemenangan yang mampu meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati.

Belanda dijangka bergantung kepada corak permainan menyerang yang menjadi identiti mereka sejak era 'Total Football', sementara Sweden pula berharap disiplin taktikal serta kelebihan fizikal mampu menjadi senjata untuk mengekang ancaman lawan.

Dengan sejarah panjang yang menghubungkan kedua-dua pasukan serta kedudukan penting perlawanan ini dalam saingan kumpulan, pertemuan Belanda dan Sweden dijangka menjadi antara aksi paling menarik untuk disaksikan dalam Piala Dunia 2026.

Persoalannya kini, adakah Belanda mampu meneruskan dominasi yang pernah dipamerkan pada 1974, atau Sweden akan mencipta episod baharu dalam sejarah pertemuan kedua-dua negara?

Anda mungkin berminat dengan

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

LEGO Editions Sports 43020 FIFA World Cup Official Trophy (2842 Pieces)

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Mexico 26 Home Pre Match Jersey Men Green JY5485

adidas Football Mexico 26 Home Pre Match Jersey Men Green JY5485

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

Must Watch Video