Episod duka skuad hoki dalam dewan negara dalam Sukan SEA Thailand masih kekal dalam ingatan setiap pemain mahupun barisan kejurulatihan.
Skuad lelaki dan wanita terlepas kilauan pingat emas, namun ia menjadi pengajaran berguna buat semua pihak demi kepentingan sukan hoki dalam dewan negara.
Advertisement
Terpanggil dengan senario ini, ketua jurulatih negara, Rodhanizam Mat Radzi, menggesa semua pihak agar bersatu untuk menyelesaikan permasalahan kem negara.
Difahamkan, skuad negara akan kembali melaporkan diri kem bagi latihan pasukan pada bulan depan dan Mac sempena persiapan Piala Asia tatkala gelanggang Dewan Sri Putra, Bukit Jalil hanya akan digunakan sejurus tamat kempen liga hoki dalam dewan, hujung April kelak.
Meskipun belum ada keputusan rasmi tarikh dan venue Piala Asia, namun, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan kejohanan tersebut bakal berlangsung dalam jendela antarabangsa pada Jun hingga Ogos depan.
Ini bermakna, skuad negara berdepan persiapan suntuk untuk mengharungi Piala Asia 2026.
"Kami mohon Dewan Sri Putra sedia menerima kami bagi tujuan latihan.
"Walaupun latihan boleh diadakan di tempat lain, ia sedikit sebanyak mengganggu kami yang terpaksa berkongsi tempat latihan awam.
"Kami tidak mahu lagi (menghadapi dilema) latihan yang pendek akan merencatkan persediaan kami.
"Sejak temasya 2017, masalah sama masih terjadi dan (tidak tahu) apa yang perlu dilakukan untuk hoki dalam dewan.
"Jadi sebelum perkara buruk terjadi, lebih baik kami lakukan sesuatu terlebih dahulu," katanya.
"