Vietnam dilaporkan sekali lagi kehilangan penyerang utama, Nguyen Xuan Son, bagi baki kempen Piala ASEAN FIFA di Indonesia ketika ini.
Ini selepas pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu dilaporkan mengalami kecederaan otot paha ketika membantu Naga Emas menewaskan Filipina 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung semalam.
Xuan Son, 29, melakukan satu larian pantas pada minit ke-69 perlawanan itu sebelum secara tiba-tiba memegang belakang pahanya dan terbaring kesakitan di atas padang.
Media Vietnam, Tuoitre, melaporkan bahawa pemeriksaan awal pihak perubatan mendapati penyerang itu mengalami kecederaan hamstring.
Sebelum ini, Xuan Son mengalami kecederaan patah tulang tibia (tulang kering) di kaki kanannya pada Januari 2025 sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan berehat lapan bulan.
Vietnam seterusnya akan menentang Thailand bagi aksi kedua Kumpulan B pada Selasa ini.