Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menganggap kehadiran tiga pemain baru, iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp, akan memberikan nafas baru buat Harimau Malaya menjelang saingan Piala ASEAN FIFA bermula Jumaat ini.
Ketiga-tiga pemain itu mendapat kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dengan Bergson dan Hidalgo membawa status pemain naturalisasi selepas melengkapkan tempoh permastautinan lima tahun di Malaysia manakala Tapp pula disahkan keabsahan susur galurnya sebagai pemain warisan menerusi darah ibunya.
Cheng Hoe berkata Bergson dan Hidalgo memiliki banyak pengalaman dalam Liga Malaysia dan memiliki kualiti yang sudah terbukti.
"Tiga pemain ini memang beri nafas baru buat pasukan kerana mereka sudah terbukti," katanya kepada Nadi Arena.
"Bergson memang memiliki penyudah yang terbaik dalam Liga Malaysia dan sudah serasi dengan pemain tempatan, jadi saya rasa dia tidak akan berdepan masalah.
"Hidalgo juga pernah bersama Pahang, Kedah dan JDT (Johor Darul Ta'zim), jadi saya rasa dia tiada isu cuma perlu mengatasi cabaran bermain dalam suasana berbeza di peringkat antarabangsa.
"Brad Tapp, kita dapat lihat dalam pasukan JDT bahawa dia memiliki kekuatan fizikal dan ketenangan untuk memberikan kestabilan di barisan pertahanan."
Malaysia akan berdepan Bangladesh bagi aksi pertama Kumpulan A, Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno pada Jumaat ini.
Harimau Malaya kemudian akan berdepan tuan rumah, Indonesia, tiga hari kemudian sebelum menamatkan saingan pusingan awal itu dengan menghadapi Singapura pada 1 Oktober ini.