'Ini adalah barisan pemain yang ingin mewakili negara ini'
Itu penjelasan jurulatih Indonesia, John Herdman, yang berharap pemikiran mengenai pemain naturalisasi mahupun tempatan yang mewakili negara itu perlu diubah dengan berkongsikan 'mereka adalah pemain Indonesia'.
Perkara itu susulan Indonesia yang pertama kali membariskan 11 pemain warisan tanpa pemain tempatan dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Singapura malam tadi.
"Ya, ini adalah barisan pemain yang ingin mewakili negara ini. Mereka yang rela menaiki kapal terbang (untuk wakili Indonesia), bekerja keras, melakukan terjahan 50/50, bermain dengan penuh semangat, ghairah dan sepenuh hati untuk penyokong di sini.
"Penting untuk menghormati perkara itu, saya rasa pemain tempatan tiada ada beza. Tiada istilah tempatan dan luar negara, kami adalah orang Indonesia.
"Kami mewakili negara, nyanyikan lagu dan berdiri Bersama. Ini adalah pemikiran yang perlu diubah. Mereka adalah pemain Indonesia sekarang, beraksi untuk anda.
"Apabila mereka berhenti berlari dalam perlawanan, baru anda boleh tanyakan soalan ini." katanya.
Malaysia menanti Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A pada Isnin nanti.