Bangladesh akan menjadi lawan pertama skuad bola sepak negara dalam saingan Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat ini.
Pasukan jemputan itu dipilih bagi menggantikan India, yang terpaksa menarik diri daripada edisi perdana kejohanan berkenaan.
Menjelang perlawanan pembukaan itu, sejauh manakah kekuatan yang dimiliki Tigers of Bengal?
Bangladesh bukanlah lawan mudah seperti satu ketika dahulu memandangkan mereka kini diperkuatkan pemain diaspora yang beraksi di luar negara.
Pemain berkenaan ialah Zidane Yousuf dari kelab Inggeris, Walton & Hersham, Tariq Kazi (Paro FC), Zayyan Ahmed (Rimal Al-Sahra), Farhaan Ali Wahid (Boreham Wood), Fahamedul Islam (Olbia), Shamit Shome (NY Cosmos) dan yang paling mencuri tumpuan, pemain tengah Sheffield United, Hamza Choudhury.
Selain itu, mereka juga dilatih oleh bekas pengendali Sri Pahang, Thomas Dooley, yang sudah pasti amat mengenali suasana permainan pemain negara.
Dooley membawa DNA bola sepak yang lebih berdisiplin dan taktikal moden. Di bawah kendaliannya, Bangladesh melakar kejutan positif termasuk menewaskan negara Eropah, San Marino, dalam aksi persahabatan pada Jun lalu.
Bangladesh akan memulakan kempen dengan menentang Malaysia pada Jumaat ini sebelum bertemu Singapura tiga hari kemudian.
Mereka akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah, Indonesia, pada 1 Oktober ini.