Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengakui Indonesia merupakan pasukan pilihan utama dalam saingan Kumpulan A, Piala ASEAN FIFA di Jakarta bermula Jumaat ini.
Bagaimanapun, Cheng Hoe menegaskan, dua pencabar lain, iaitu Bangladesh dan Singapura, juga tidak boleh dipandang mudah kerana kedua-dua pasukan itu turut memiliki kekuatan tersendiri.
"Memang Indonesia merupakan pilihan utama dan memiliki kelebihan tetapi kita perlu fokus kepada perlawanan pertama menentang Bangladesh," katanya kepada Astro Arena.
"Kita tidak boleh pandang rendah kepada Bangladesh juga dan perlawanan kedua menentang Indonesia akan menjadi satu rintangan dan cabaran besar kerana kita tahu pasukan Indonesia kali ini berbeza berbanding sebelumnya.
"Kita akan mengambil cabaran ini sebagai satu motivasi untuk melawan Indonesia nanti.
"Dalam perlawanan terakhir, kita akan menentang seteru, Singapura dan ia juga akan menjadi perlawanan 50-50."
Malaysia akan berdepan Bangladesh bagi aksi pertama Kumpulan A, Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno pada Jumaat ini.
Harimau Malaya kemudian akan berdepan tuan rumah, Indonesia, tiga hari kemudian sebelum menamatkan saingan pusingan awal itu dengan menghadapi Singapura pada 1 Oktober ini.