Bintang Indonesia, Jordi Amat, teruja namanya berada dalam senarai akhir 23 pemain skuad kebangsaan Indonesia menjelang Piala ASEAN FIFA 2026.
Dalam masa yang sama, pemain Persija Jakarta yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim itu juga tidak sabar untuk berdepan Malaysia selain optimis aksi kedua-dua pasukan akan menjadi pertarungan sengit.
"Semestinya kami sangat-sangat senang boleh tembusi dalam skuad kebangsaan. Saya sangat menantikan untuk bergabung dengan pasukan Indonesia dan saya tahu, ini adalah kejohanan yang besar bagi kami semua.
"Jadi sekarang kami harus fokus dan berada dalam keadaan yang baik.
"Lawan Malaysia? Pastu akan jadi aksi yang sangat luar biasa. Sudah lama sekali ya. Namun sebelum melawan Malaysia, terlebih dahulu kami harus menghadapi Singapura." katanya dipetik dari Media Indonesia.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya bakal mengharungi tiga perlawanan penting dalam saingan Kumpulan A iaitu Indonesia, Bangladesh dan Singapura yang dijadualkan akan membuka tirai bermula 25 September hingga 5 Oktober 2026 di Jakarta dan Bandung.
Khidmat bekas pemain berpengalaman yang pernah beraksi buat pasukan besar seperti Swansea City, Rayo Vallecano dan Real Betis itu semestinya akan ditagih John Herdman untuk mengetuai jentera pertahanan Sang Garuda.