Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan, meletakkan sasaran final untuk Harimau Malaya dalam saingan Piala ASEAN FIFA bermula 24 September ini.
Ab Ghani, yang dipilih sebagai Presiden baharu FAM bagi baki penggal 2025-29 dalam kongres luar biasa persatuan hari ini, berkata dia berharap agar skuad bola sepak negara akan dapat kembali menguasai rantau Asia Tenggara sambil berpendapat senarai pemain yang dipanggil bagi edisi perdana Piala ASEAN FIFA tahun ini merupakan barisan terbaik yang dimiliki negara.
"Sejak dahulu lagi, apabila kita menyertai sesuatu kejohanan, kita mahukan keputusan terbaik," katanya dalam sidang media di ibu negara sebentar tadi.
"Sama seperti hari ini, Piala ASEAN FIFA yang akan datang, kita mahu pasukan kita, Harimau Malaya, berjaya sekurang-kurangnya ke final.
"Tetapi kita juga perlu maklum untuk tidak meletak harapan terlalu tinggi kerana dalam bola sepak, ada kalah dan ada menang.
"Apapun yang kita buat, kita perlu pastikan pasukan kita dapat buat yang terbaik.
"Dan Insya-Allah, Alhamdulillah, saya nampak apa yang dihantar untuk Piala ASEAN FIFA ini merupakan pemain yang terbaik yang ada buat pasukan kita hari ini.
"Saya yakin dan percaya kita boleh mendapatkan kemenangan dan keputusan terbaik."