Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berkongsikan fokus utama skuad Harimau Malaya ketika ini adalah berdepan Bangladesh terlebih dahulu menjelang perlawanan pertama kempen Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.
Malah, dia turut tidak menafikan Indonesia merupakan pasukan pilihan menjuarai saingan Kumpulan A dengan rata-rata pemain yang memperkuatkan pasukan di ranking ke-118 itu berpangkalan di Eropah.
"Kami menghormati Bangladesh, mereka hadir dengan persiapan yang mantap. Kami tahu aksi yang sukar dalam perlawanan pertama setiap kejohanan tetapi kami bersedia.
"Ya, sudah tentu fokus saya adalah untuk perlawanan esok. Selepas itu kita akan lihat perkembangan dan keputusan yang diperoleh. Pada masa yang sama, segala-galanya perlu diberikan tumpuan kepada perlawanan esok. Sangat penting untuk meraih keputusan positif esok.
"Sudah tentu, bermain menentang Indonesia sentiasa menjadi satu perlawanan yang menarik. Saya yakin dalam kumpulan ini, Indonesia akan menjadi pasukan pilihan kerana mereka mempunyai pemain-pemain terbaik yang beraksi di Eropah dan luar negara. Kami juga bersedia aksi bertemu mereka, tetapi fokus adalah pada aksi esok." katanya.