Kejayaan Harimau Malaya menamatkan kempen sulung Piala ASEA FIFA 2026 di tempat ketiga bukan sahaja memberikan kepuasan dari segi pencapaian di atas padang, malah hadir bersama ganjaran lumayan.
Anak buah Tan Cheng Hoe dianggarkan membawa pulang hadiah wang antara ASD225,000 hingga ASD255,000 (RM945,000 hingga RM1.07 juta) selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, hari ini.
Jumlah itu menjadi ganjaran kepada kempen positif Malaysia yang berakhir dengan kemenangan penting ke atas Vietnam.
Fergus Tierney muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62 selepas menghasilkan detik individu menarik di hadapan kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang.
Kemenangan tersebut bukan sahaja mengesahkan kedudukan ketiga Malaysia, malah menamatkan penantian 12 tahun Harimau Malaya untuk menewaskan Vietnam.
Lebih menarik, Malaysia menutup kejohanan dengan rekod pertahanan sempurna apabila mencatat empat perlawanan tanpa bolos berturut-turut.
Harimau Malaya membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, sebelum seri tanpa jaringan dengan Indonesia dan kemudian membelasah Singapura 6-0.
Kemenangan 1-0 ke atas Vietnam melengkapkan kempen dengan keseluruhan 10 gol dijaringkan dan sifar bolos dalam empat perlawanan.
Selain membawa pulang pencapaian tempat ketiga, Harimau Malaya turut memiliki ganjaran kewangan yang mampu mencecah RM1.07 juta.