Indonesia berpesta gol membelasah Bangladesh 9-2, sekali gus mara ke final Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menamatkan saingan Kumpulan A dengan kelebihan bilangan gol.
Mitchell Baker menjadi watak utama apabila meledak gol pada minit ke-11 dan 20, sebelum Rizky Ridho menambah jaringan pada minit ke-32.
Bangladesh sempat merapatkan kedudukan menerusi Shahriar Emon pada minit ke-36, namun Baker melengkapkan hatrik seminit kemudian.
Indonesia terus mengganas dengan jaringan Justin Hubner, Kevin Diks dan Baker sekali lagi sebelum serta di penghujung babak pertama, sebelum menambah jaringan pada separuh masa kedua untuk melengkapkan kemenangan 9-2.
Namun, di sebalik pesta gol itu, persoalan mengenai masa tambahan turut menjadi perhatian.
Tempoh tambahan yang pada awalnya dipaparkan dua minit dilihat berlanjutan beberapa minit lagi, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai pengiraan masa yang diberikan pengadil.
Lebih menarik, Indonesia akhirnya mendapatkan jaringan kesembilan pada penghujung masa tambahan, sekali gus memastikan margin kemenangan yang diperlukan untuk mengatasi Malaysia dalam persaingan sengit merebut tiket final.
Malaysia dalam masa sama menewaskan Singapura 6-0, namun kemenangan besar itu masih tidak mencukupi apabila Indonesia mengatasi mereka dari segi jumlah jaringan dan kriteria penentuan kumpulan.
Justeru, persoalannya kini bukan sekadar mengapa Indonesia menang 9-2, tetapi mengapa masa tambahan berlanjutan dan bagaimana ia memberi ruang kepada dua lagi jaringan penting pada penghujung aksi?