Kapten skuad bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur, mengingatkan pasukannya untuk tidak memandang rendah keupayaan Singapura menjelang aksi terakhir saingan Piala AFF 2026 esok.
Tonggak berpengalaman berusia 37 tahun itu turut memasang impian untuk memacu Malayan Tigress mara ke final Piala AFF buat julung kalinya di laman sendiri.
Steffi menjelaskan tiada jalan lain buat Malaysia selain mencatatkan kemenangan di Cheras jika berhasrat untuk menempah slot ke separuh akhir.
Pemain Sabah itu turut mengakui sedia mengerah segala yang termampu seandainya khidmatnya diperlukan ketua jurulatih, Joel Cornelli, dalam perlawanan menentang Singapura nanti.
Untuk rekod, Steffi hanya berada di bangku simpanan ketika skuad kebangsaan seri 1-1 ketika bertemu Laos Jumaat lalu.
"Saya rasa Singapura pasukan yang bagus, kita tidak boleh pandang rendah, tak boleh ambil mudah, perlu bekerjasama dan melakukan yang terbaik nanti.
"Kami perlu mengambil peluang bermain di pentas sendiri, siapa yang tidak mahu beraksi di pentas final lebih-lebih lagi di laman sendiri.
"Ini impian kami semua, untuk capainya kami perlu kerja keras untuk menang dalam aksi kedua ini dahulu. Saya akan beri 200%, ini yang saya sentiasa berikan jika dipilih beraksi, beri aksi terbaik buat negara dengan penuh rasa hormat." katanya.