Skip to main content

Renang

Phee Jinq En tinggalkan legasi cemerlang di arena akuatik

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Jinqen

Persekutuan Renang Malaysia (MAS) secara rasmi mengumumkan persaraan Olimpian, Phee Jinq En, sekali gus menutup tirai karier cemerlangnya yang menjangkau lebih sedekad di pentas antarabangsa.

Sukan SEA edisi ke-33 di Bangkok menjadi kejohanan antarabangsa terakhir buat Jinq En menyarung jersi kebangsaan.

Advertisement

Dalam temasya dwitahunan terakhirnya, atlet berusia 27 tahun itu sekali lagi menghadiahkan pingat kepada negara dengan meraih perak dalam acara 100 meter (m) kuak dada wanita serta gangsa bagi acara 50m kuak dada wanita.

Aksi terakhir Jinq En bersama pasukan negara semalam menerusi acara 4x100m rampaian wanita.

Sepanjang kariernya, Jinq En muncul sebagai antara perenang kuak dada paling konsisten dan berjaya pernah dimiliki Malaysia.

Pada tahun 2015 hingga 2025, dia mengumpul keseluruhan 10 pingat Sukan SEA merangkumi empat emas, tiga perak dan tiga gangsa, sekali gus membuktikan tahap kecemerlangan prestasinya di peringkat serantau.

Jinq En turut menggalas cabaran negara di pentas tertinggi dunia dengan mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2021.

Selain itu, dia turut beraksi dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Akuatik Dunia serta pelbagai kejohanan antarabangsa utama.

Di peringkat kebangsaan, Jinq En memegang rekod kebangsaan bagi acara 50m dan 100m kuak dada wanita, sekali gus menetapkan penanda aras baharu yang terus menjadi inspirasi kepada generasi pelapis renang negara.

Lebih daripada sekadar pencapaian pingat, Jinq En dikenali sebagai atlet yang menampilkan profesionalisme tinggi, ketahanan mental serta kebanggaan dalam membawa nama Malaysia.

Dedikasi dan kepimpinannya sepanjang tempoh lebih sedekad turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard sukan renang negara.

MAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Phee Jinq En atas jasa, pengorbanan serta sumbangan besarnya kepada negara.

Must Watch Video