Lahir dalam keluarga sukan permotoran dan membesar di venue utama Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix mendidik pelumba Zynergys Honda KC Racing, Idlan Haqimi Raduan, sebagai jaguh dalam pembikinan sukan permotoran dua roda negara.
Bukan mudah membawa nama keluarga Raduan di litar lumba tetapi naluri sang juara sudah berada dalam darah dagingnya.
Idlan Haqimi membuka kempen CP125 dengan langkah kanan menerusi kejuaraan pusingan pertama musim 2026 di Tangkak, Johor.
Pelumba berusia 22 tahun itu kemudian meneruskan tunggangan konsisten dalam pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk berada di posisi keempat sebelum bergelar naib juara dalam pusingan ketiga di Jempol, Negeri Sembilan.
Menjelang perlumbaan pusingan keempat di Stadium Negeri, Pulau Pinang esok, Idlan Haqimi bagaikan deja vu untuk kembali ke venue perlumbaan yang menjadi 'taman permainannya' ketika kecil.
"Ada tiga adik-beradik saya yang berlumba dalam Cub Prix," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Abang saya juga pernah mendapat juara keseluruhan dan menaiki podium dalam setiap pusingan, saya kira pada 2012.
"Semestinya ada sokongan daripada mereka. Mereka memberikan saranan berdasarkan siaran langsung yang mereka tonton.
"Saya sudah berada di litar sejak berusia lima tahun untuk melihat abang saya berlumba."