Nasib 50 tenaga pengajaran Progam Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kini menjadi tanda tanya berikutan perubahan struktur yang dijangka berlaku dalam program akar umbi itu.
Difahamkan, 14 ketua jurulatih remaja negeri di bawah NFDP, termasuk Datuk Richard Scully, telah ditamatkan kontrak bagi membolehkan lantikan segera beberapa Ahli Jawatankuasa Teknikal baru program itu.
Advertisement
12 jurulatih AMD juga mengalami nasib sama manakala 24 lagi masih menunggu keputusan membabitkan pemotongan gaji.
Ketika nasib barisan jurulatih ini menjadi persoalan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk memberi kebebasan sepenuhnya buat Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee, untuk membentuk barisan terbaiknya dalam membina satu legasi baru.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, berkata kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf: "Saya tidak mahu jawab mengenai siapa yang dilepaskan dan siapa yang masih ada, kita serahkannya kepada kebijaksanaan Datuk Ong untuk memastikan program ini dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Jadi, sesiapa pun yang masih dikekalkan atau dilepaskan, itu hak mereka untuk menantukan tetapi tentu sekali ia mesti lebih baik daripada segi pengurusan dan jurulatih.
"Sekiranya jawatankuasa itu kekal seperti yang sama, mungkin keputusannya juga sama.
"Jadi, kita perlu beri kebebasan dan terpulang kepada kebijaksanaan mereka untuk menentukan hala tuju program ini bagi masa akan datang."
Sebagai rekod, NFDP sebelum ini berada di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi kini diambil alih FAM.
