Timbalan Presiden Persatuan Pickleball Malaysia (MPA), Harmeet Singh, berharap persatuannya dapat menjalankan tugasan dan operasi seperti biasa meskipun telah digantung sejak 27 Februari lalu.
Harmeet juga tidak menolak andaian untuk membersihkan kemelut sedia ada, dengan persatuan perlu dirombak semula sambil mengamalkan prinsip ketelusan dalam setiap jawatan yang dipegang.
Advertisement
"Saya akan memanggil sesiapa yang perlu termasuk Delima untuk berbincang mengenai hal ini.
"Ia, tentang bagaimana MPA boleh bergerak bersama pada masa hadapan.
"Jika MPA digantung, penyertaan persatuan boleh dibatalkan.
"Saya mahukan seseorang yang boleh mengetuai persatuan ini dengan mengetahui segala undang-undang persatuan.
"Jika tidak, perkara seperti ini akan berlaku lagi.
"Kami akan mendapat nasihat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan memanggil semua ahli gabungan.
"Saya harap MPA kekal selaku badan induk. Saya sudah mendengar khabar angin bahawa ada orang lain mahu menubuhkan persatuan pickleball kebangsaan juga," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Segalanya bermula dengan krisis kepimpinan dalam persatuan apabila bekas presiden, Farell Choo, menyerahkan jawatan tersebut kepada bendahari, Delima Ibrahim, bagi menggantikan dirinya.
Bagaimanapun, mengikut perlembagaan persatuan, timbalan presiden sepatutnya mengambil alih jawatan tersebut apabila presiden meninggalkan kerusi panas itu.
Ekoran kemelut tersebut, persatuan diberi 30 hari untuk memberi penjelasan, dan jika tidak, pendaftarannya boleh dibatalkan.