Hanya sebulan dibentuk, Bomba FC membuktikan semangat berpasukan dan kesungguhan mampu membawa kepada kejayaan luar biasa apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja edisi ke-104 buat kali pertama.
Bomba FC melakar sejarah selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti di Arena Universiti Malaya, malam tadi, sekali gus membawa pulang trofi berprestij itu.
Kejayaan berkenaan menyaksikan penantian Bomba FC untuk bergelar juara berakhir dengan penuh dramatik, hasil aksi cemerlang penjaga gol Muhammad Firdaus Mohd Kamal yang menafikan dua sepakan penalti lawan.
Lebih manis, kejayaan itu menjadi kebangkitan bermakna buat Bomba FC yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada edisi 2024 selepas tewas 1-2 kepada MYSPRM-ACEIO.
Pengendali Bomba FC, Mazerul Mohd Mohayudin, menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah istimewa buat seluruh pasukan yang dibentuk dalam tempoh singkat dengan menghimpunkan pemain dari pelbagai negeri.
Menurutnya, skuad berkenaan mula berkumpul di Akademi Bomba di Kuala Kubu Bharu sebelum membina keserasian dan mempersiapkan diri untuk mengharungi kejohanan.
“Pasukan Bomba dibentuk dalam tempoh sebulan sahaja. Kami berhimpun di Akademi Bomba di Kuala Kubu Bharu dan membentuk pasukan daripada kalangan pemain dari pelbagai negeri.
“Dari hari pertama sehingga final ini, kejuaraan ini adalah hadiah buat pasukan Bomba,” katanya.
Sementara itu, Firdaus menjadi antara watak utama kejayaan Bomba FC apabila ketangkasannya ketika penentuan sepakan penalti memastikan pasukan itu mampu menamatkan perlawanan sebagai juara.
Bagi penjaga gol berkenaan, kejayaan itu turut mengukuhkan keyakinannya bahawa keputusan menyertai Bomba FC adalah tepat.
Selepas membantu Kuala Lumpur muncul juara pada tahun lalu, Firdaus sekali lagi menikmati kejayaan dalam kejohanan berprestij itu, kali ini bersama pasukan yang baru dibentuk.
Dua tepisan pentingnya ketika penentuan penalti bukan sahaja menjadi detik penentu kemenangan, malah melengkapkan perjalanan luar biasa Bomba FC dalam edisi kali ini.
Sebagai juara, Bomba FC membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta piala pusingan dan pingat, manakala Negeri Sembilan menerima RM20,000 sebagai naib juara.
Daripada sebuah pasukan yang dibentuk dalam tempoh sebulan, Bomba FC kini mengukir nama dalam sejarah Piala Emas Raja-Raja.
Kejayaan itu bukan sekadar membawa pulang trofi, tetapi turut menjadi bukti bahawa kesatuan, disiplin dan semangat juang mampu menjadi asas kepada pencapaian besar meskipun pasukan dibentuk dalam masa yang singkat.