Pemanah compound negara, Juwaidi Marzuki, menegaskan mengenai saingan Piala Dunia yang disifatkan bukan lagi medan pemanas badan, sebaliknya setiap atlet perlu kekal bersedia kerana setiap aksi memberi kesan kepada kedudukan di dalam ranking dunia.
Menurut Juwaidi, fokus utama kini adalah untuk meningkatkan kedudukan ranking khususnya dalam acara berpasukan campuran yang bakal dipertandingkan buat kali pertama di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Advertisement
Dia optimis peningkatan ranking akan membuka peluang lebih besar buat skuad negara untuk mencuri slot dalam saingan kelayakan yang berpotensi membuat mereka berdiri di pentas tertinggi itu.
"Untuk Piala Dunia saya memang kalau boleh semua dah bersedia dah, tiada percubaan lagi dibuat dan untuk kali ini saya mahu tingkatkan kedudukan ranking.
"Walaupun slot itu berkemungkinan boleh dicapai atau tidak kerana terhad kepada 12 pasukan saja, kita perlu cuba yang terbaik untuk naikkan dahulu ranking dunia sebelum mengimpikan slot kelayakan itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.