Insiden luar biasa mewarnai aksi divisyen kedua Jerman apabila seorang penyokong bertopeng didakwa mencabut sambungan monitor Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika pengadil sedang bersedia membuat semakan di tepi padang.
Kejadian itu berlaku pada penghujung separuh masa pertama dalam perlawanan Bundesliga 2 yang menyaksikan Preussen Munster tewas 1-2 kepada Hertha Berlin di laman sendiri.
Advertisement
VAR sebelum itu mengarahkan pengadil, Felix Bickel, untuk menilai satu insiden penalti namun skrin di tepi padang didapati tidak berfungsi selepas peralatan teknikal dipercayai dicabut oleh seorang penyokong yang menceroboh masuk ke kawasan padang.
Akibat gangguan tersebut, keputusan akhirnya dibuat oleh pegawai VAR, Katrin Rafalski yang berada di Cologne, yang memutuskan berlaku kekasaran dan mengarahkan penalti diberikan kepada Hertha Berlin, sebelum berjaya disempurnakan.
Preussen Munster dalam satu kenyataan memaklumkan mereka kesal dengan insiden itu dan akan berusaha mengenal pasti individu terlibat serta mengambil langkah segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Media Jerman turut melaporkan sepanduk bertulis “Pull the plug on VAR” dipamerkan di bahagian penyokong tuan rumah sejurus selepas gangguan teknikal tersebut berlaku.