Acara larian 'Malaysia Sarong Music' kembali untuk edisi ketiga pada 19 September depan dengan penyertaan meningkat mencecah 20,000 peserta berbanding 15,000 tahun lalu.
Ia secara tidak langsung mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap konsep yang menggabungkan sukan, muzik dan budaya dalam satu acara.
Seiring dengan penambahan itu, beberapa kelainan turut diperkenalkan termasuk perarakan Jalur Gemilang sepanjang 2km serta penampilan khas Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pembaca ikrar yang pastinya menjadi salah satu tumpuan dalam edisi kali ini.
Pihak penganjur juga memberi jaminan acara akan dilaksanakan mengikut garis panduan pihak berkuasa dan mematuhi sebarang nasihat berhubung keadaan jerebu yang melanda kini demi keselamatan semua peserta.
"Penyertaan dan keterujaan juga bertambah dengan kategori dan hiburan diperkenalkan.
"Artis yang dijemput juga lebih meriah, jadi kami mengharapkan kehadiran penuh.
"Saya harap peserta juga boleh menjaga kebersihan agar bandaraya ini terjaga," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.
Tambah Pengasas Acara larian Malaysia Sarong Music, Eddy Casmady: "Beberapa pentas juga didirikan selain penambahan persembahan dan juadah kuih-muih.
"Radio stesen dan artis daripada Astro juga akan terlibat."