Skip to main content

Sukan SEA

Penutup manis Sukan SEA Thailand buat CDM, Nurul Huda Abdullah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Huda

Sukan SEA Thailand melabuhkan tirainya dengan penuh bermakna, sekali gus menandakan tamatnya tugas Chef de Mission (CDM) Malaysia, Nurul Huda Abdullah, yang menyifatkan amanah tersebut sebagai satu pengembaraan berliku, namun berakhir dengan kegembiraan.

Kejayaan kontinjen negara kali ini lebih manis kerana ia dicapai di Thailand, lokasi yang cukup signifikan buat Nurul Huda, memandangkan di situlah dia memulakan karier gemilang sebagai atlet lebih empat dekad lalu.

Advertisement

“Tahun 1985 merupakan penampilan kedua saya dalam temasya dwitahunan itu, dan ia juga berlangsung di Thailand. Pada tahun itu, saya mencipta kejayaan apabila memenangi semua pingat bagi acara yang saya sertai untuk Malaysia,” katanya.

Sebagai rekod, Nurul Huda pernah meraih tujuh pingat emas menerusi acara 200 meter (m), 400m dan 800m gaya bebas; 200m kuak lentang, 200m kuak kupu-kupu; 200m dan 400m rampaian perseorangan, serta acara 4x100m rampaian.

Nurul Huda menyifatkan kepulangannya ke Thailand selepas tempoh 40 tahun sebagai satu memori yang amat bermakna.

“Untuk Sukan SEA kali ini, kembali ke bumi Thailand selepas 40 tahun merupakan kenangan terindah buat saya. Saya tidak boleh meminta penamat yang lebih baik hasil usaha semua wakil negara,” ujarnya.

Begitupun, Nurul Huda menegaskan bahawa kejayaan kontinjen Malaysia bukan miliknya secara peribadi.

“Sebagai CDM, ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya, tetapi pencapaian hebat ini adalah hasil usaha semua pihak -- atlet, jurulatih, pegawai dan barisan sokongan,” katanya.

Beliau turut berharap momentum kecemerlangan yang dipamerkan pada edisi kali ini dapat diteruskan menjelang Sukan SEA 2027, sekali gus merealisasikan impian untuk muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

“Motivasi dan komitmen yang kita ada sekarang perlu dikekalkan sehingga 2027. Kita sudah berada di landasan yang tepat, namun tidak boleh sesekali mengambil mudah,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, negara pesaing sentiasa memantau pencapaian Malaysia dan pasti akan membuat persiapan lebih awal.

“Sebagai tuan rumah nanti, cabaran pasti lebih hebat. Kita perlu terus mengekalkan semangat juang dan menetapkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2027,” katanya.

Must Watch Video