Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, berkata 'sistem airbag' yang berkualiti memberi nyawa kedua kepada Hakim Danish Ramli yang tampil berada dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun mengalami kemalangan serius semasa sesi ujian rasmi di Litar Jerez, Sepanyol.
Dia tetap menaruh penuh keyakinan terhadap pelumba tersebut untuk melakar kedudukan lima terbaik dalam perlumbaan pusingan pertama yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 27 Februari hingga 1 Mac ini.
Advertisement
"Kemalangan itu nampak teruk. Hakim Danish tercampak di pada bahagian tepi.
"Saya percaya sistem keselamatan yang ada mampu melindungi pelumba kami.
"Alhamdulillah, saya nampak dia okay," katanya.
Sementara itu, Zulfahmi mengakui ada melakukan perbincangan dengan beberapa syarikat penajaan termasuk Petronas Sprinta bagi mengukuhkan kelangsungan kewangan pasukan tersebut.
Jelasnya, segalanya dilihat positif dan keputusan tersebut bakal diumumkan paling lewat hujung bulan ini.
"Bukan sahaja Petronas Sprinta, malah ada syarikat lain mahu mengembangkan penajaan.
"Saya berharap minggu depan kami boleh mengumumkan keputusan baik," katanya lagi.