Pelumba motosikal remaja Amerika Syarikat, Bayne Nantz, meninggal dunia pada usia 17 tahun selepas lebih seminggu bertarung nyawa susulan kemalangan ketika menyertai perlumbaan Flat Track di Illinois.
Nantz terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan Dan Bromley Memorial di Peoria TT, Bartonville, Illinois pada 22 Ogos lalu.
Perlumbaan tersebut diadakan bagi memperingati seorang lagi pelumba, Dan Bromley, yang meninggal dunia dalam kemalangan awal tahun ini.
Menurut keluarganya, Nantz menghembuskan nafas terakhir pada malam 1 September selepas menjalani tempoh kritikal akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Remaja itu mengalami kecederaan otak traumatik teruk serta pendarahan, selain patah pinggul selain pundi kencing terkoyak, siku dan bahu terkehel serta kecederaan pada paru-paru dan jantung.
Lebih menyayat hati, kemalangan itu berlaku ketika Nantz sedang mendahului perlumbaan.
AMA Pro Racing and the American Flat Track community mourn the passing of AFT ProSport 450 competitor Bayne Nantz.
Our deepest condolences are with Bayne’s family, friends and fellow competitors. pic.twitter.com/nL5R0mHuWN— American Flat Track (@AmericanFlatTrk) September 3, 2026
Keluarganya menyifatkan tempoh 10 hari selepas kemalangan sebagai antara pengalaman paling menyakitkan dalam hidup mereka, malah mereka terpaksa beberapa kali mengucapkan selamat tinggal kepada Nantz di hospital sebelum akhirnya beliau meninggal dunia.
Bakat Nantz sebelum ini mendapat perhatian dalam arena American Flat Track.
Pada Mei lalu, American Flat Track pernah menyifatkan Nantz sebagai nama yang perlu diberi perhatian selepas dia memenangi perlumbaan AFT ProSport 450 ThrottleFest.
Dalam kempen kutipan dana yang diwujudkan ketika usianya baru 13 tahun, keluarganya mendedahkan bahawa Nantz mempunyai impian untuk menjadi pelumba profesional dalam American Flat Track dan memiliki bakat semula jadi untuk merealisasikan cita-cita tersebut.
Namun, impian pelumba muda itu berakhir secara tragis selepas kemalangan yang meragut nyawanya.
Pemergian Nantz meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan serta komuniti sukan permotoran Amerika Syarikat yang mengenali potensi besar pelumba berkenaan.