Peguam undang-undang sukan, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid, menganggap laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) terhadap rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) berpotensi memberi dua keputusan berbeza buat dua entiti, badan induk kebangsaan itu serta tujuh pemain yang terlibat.
Merujuk kepada perkara 50 laporan itu, terdapat pengakuan daripada Setiausaha Agong FAM, Datuk Noor Azman Rahman, mengenai penglibatan bahagian pentadbiran FAM dalam menguruskan dokumen yang didakwa dipalsukan.
Advertisement
Ia secara tidak langsung menyaksikan peluang keputusan rayuan memihak buat FAM adalah tipis.
Sementara itu, buat tujuh pemain terbabit, kebarangkalian lebih tinggi untuk melihat hukuman penggantungan 12 bulan dapat dikurangkan berdasarkan hujah sewaktu proses perbicaraan.
"Saya melihat terdapat dua kem, (iaitu) kem FAM dan kem pemain.
"Terdapat pengakuan dan untuk FAM berjaya, saya rasa agak tipis dan pemain yang pergi CAS bertujuan untuk merendahkan hukuman 12 bulan.
"Meskipun minima, mungkin mereka boleh mengembangkan hujahan undang-undang sukan di peringkat CAS dan tempatan, khususnya di Malaysia ," katanya.