Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M.Thinaah, terpaksa akur terlepas gelaran kedua apabila muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan 2026 di Taipei Arena, Taipei City, sebentar tadi.
Mereka tewas kepada wakil Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi, menerusi aksi straight set, 16-21,18-21, dalam tempoh 40 minit pertarungan kejohanan yang berstatus Super 300 itu.
Lawan yang berada di ranking ke-71 dunia itu bermula dengan langkah kanan apabila mendahului wakil negara 5-0, meskipun Pearly-Thinaah kembali memperkemaskan corak permainan untuk memberikan saingan, mereka terpaksa akur tewas 16-21 dalam set pertama.

Set kedua pula menyaksikan Pearly-Thinaah yang turun selaku pilihan kelima kejohanan itu bergelut untuk memberikan aksi terbaik mereka untuk mengheret lawan ke set penentuan, meskipun sudah mengikat Nakade-Takahashi 16-16, beberapa kesilapan mudah memberikan kelebihan buat lawan dari Jepun itu menamatkan perlawanan terlebih dahulu dengan kemenangan 21-18.

Pearly-Thinaah membawa pulang USD9500 (RM38,809) selaku naib juara.