Pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan, memberikan bayangan positif untuk kembali beraksi dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 yang dijadualkan akan berlangsung daripada 19 hingga 24 Mei ini.
Pearly yang bergandingan dengan M. Thinaah kini berada di fasa akhir pemulihan selepas hampir sebulan berehat akibat kecederaan belakang, dan semakin hampir mencapai tahap kecergasan optimum menjelang kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu.
Advertisement
"Saya rasa kerana tiga minggu ini dalam rawatan yang bagus, dapat fokus dengan pemulihan saya.
"Saya berharap (dapat kembali) pada Malaysia Master kerana sekarang pemulihan berjalan dengan baik, perlu kerja keras untuk dapatkan prestasi terbaik," katanya.
Sebelum ini, Pearly terpaksa menarik diri daripada kempen Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark, susulan kecederaan berulang yang dialami ketika Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, bulan lalu.
Dalam masa sama, Pearly turut gembira dengan peningkatan prestasi pemain muda negara, khususnya pasangan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang mencipta kejutan menewaskan pasangan jepun, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi.
Satu lagi gandingan, Ong Xin Yee-Carmen Ting turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila memberikan tentangan sengit kepada pasangan nombor satu dunia dari China dalam aksi suku akhir.
"Bukan senang nampak gandingan meningkat naik yang bagus, akan banyak membantu beregu wanita.
"Saya gembira dapat lawan untuk bersaing, bukan mudah. Ini persekitaran yang bagus untuk kami saling menyokong satu sama lain." tambahnya.