PDRM kelihatan sudah terkubur daripada saingan liga domestik utama apabila tidak menyertai Liga A1 Semi-Pro musim 2026/27.
Ini selepas Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri, mengesahkan bahawa Imigresen II dan AAK Unisel menjadi dua kelab terakhir melengkapkan senarai 14 pasukan untuk musim baharu ini.
Bagi Raimi, kedua-dua pasukan itu menunjukkan komitmen untuk beraksi dalam Liga A1 selepas melengkapkan dokumentasi yang diperlukan mengikut tarikh yang ditetapkan.
Terdahulu, PDRM menarik diri daripada saingan Liga Super susulan masalah kewangan yang membelenggu pasukan berpangkalan di Pulapol itu.
"Kalau diikutkan, AAK Unisel memang pasukan yang pernah bersama dengan AFL dalam liga A2 dan mereka juga merupakan pasukan yang memberikan saingan yang hebat," kata Raimi seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Pasukan juara Liga A2 juga menarik diri, jadi ruang itu diberikan kepada mereka selaku semifinalis.
"Imigresen pula merupakan pasukan yang sudah biasa dalam AFL yang patut diberikan peluang."