Ketua jurulatih Kanchanaburi Power, Park Hang-seo, menempak mutu pengadilan yang lemah dalam Liga Divisyen 2 Thailand yang secara tidak langsung membantutkan perkembangan bola sepak di negara itu.
Hang-seo hilang sabar dalam sidang akhbar selepas barisannya -- biarpun tempang tanpa seorang pemain -- diikat Nakhon Pathom 1-1 dalam perlawanan ketiga musim ini.
Jean Hebert mengutip dua kad kuning pada minit ke-33 dan ke-40 merencatkan usaha kemenangan pelawat yang terlebih dahulu memecah kebuntuan permainan sebelum pertahanan Nakhon Pathom, Banjong Phadungpattanodom, menyudahkan peluang di kedudukan ofsaid di akhir minit perlawanan.
"Ada beberapa perkara yang ingin saya katakan kepada pengadil.
"Kini saya faham mengapa pasukan kebangsaan Thailand sering tewas kepada Vietnam, ia disebabkan oleh keputusan-keputusan seperti ini.
"Mungkin inilah sebab sebenar mengapa bola sepak Thailand tidak dapat berkembang lebih jauh," katanya.
Bekas pengendali skuad Naga Emas itu kembali dalam barisan kejurulatihan apabila bersetuju untuk menerajui kelab yang berpangkalan di utara tersebut sejak awal musim dengan merekodkan kemenangan dalam aksi sulung sebelum dua keputusan seri berturut-turut.