Skip to main content

Berbasikal

Pasukan pelapis TSG intai podium JCM di Langkawi

TSS

Pelumba-pelumba pelapis TSG Cycling Academy kini dalam persiapan untuk hadapi saingan perlumbaan kedua musim ini untuk berentap di Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 1 di Langkawi, Kedah bermula pada 3 April ini.

Skuad pelapis di bawah kendalian oleh bekas pelumba pasukan elit yang berpangkalan di Terengganu, Zamri Saleh menjelaskan ianya satu peluang yang tidak seharusnya dilepaskan memandangkan kejohanan ini mempertaruhkan perlumbaan peringkat umur di bawah 21 tahun.

Advertisement

“Prestij perlumbaan JCM itu sendiri menjadi pilihan untuk mempertaruhkan pelumba-pelumba kami untuk berentap dengan lain-lain pelumba yang turut hadir dengan reputasi tersendiri. Jadi ianya satu medan atau penanda aras yang baik untuk kami menguji kemampuan semasa pasukan sekaligus mengenal pasti kelemahan di antara setiap pelumba kami. Kualiti perlumbaan mahupun kualiti pelumba adalah dua perkara berbeza yang perlu kita beri perhatian.

“Selain dari itu tidak banyak perlumbaan dalam negara yang mempertaruhkan kategori peringkat umur di mana kami sememangnya menyasarkan penyertaan bagi mana-mana perlumbaan bagi kategori bawah 21 tahun.

“Rata-rata pelumba pasukan pelapis ini berusia bawah 19 tahun jadi kami amat memerlukan perlumbaan yang kompetitif sesuai dengan kategori yang dipertandingkan,” jelas Zamri Saleh yang kini galas tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad pelapis TSG sejak 2019.

Jelasnya lagi, menaiki podium tetap menjadi misi utama pasukan namun untuk awal musim ini lebih memfokuskan untuk memperbaiki kelemahan pasukan memandangkan kurang beraksi secara kompetitif pada musim lalu.

Manakala ketua pegawai eksekutif Terengganu Cycling Team(TSG) Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood meletakan sasaran utama buat pasukan pelapis ini adalah untuk merangkul podium di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2026 pada Julai nanti.

“Tahun 2026 ini merupakan tahun yang sibuk buat pasukan pelapis TSG selain menyertai beberapa perlumbaan utama dalam negara dan program latihan di luar negara, ada di antara mereka merupakan di antara pelumba yang akan beraksi di SUKMA Selangor 2026 nanti,” jelas Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Untuk rekod pada musim baru ini, Muhammad Qayyim Mohd Saipul Anuwai merupakan pelumba dari TSG Cycling Academy yang meneruskan karier bersama pasukan senior yang telah membuat penampilan pertama memburu podium di Tour of Thailand pada Mac lalu.
 

Must Watch Video