Ketua jurulatih Kanchanaburi Power, Park Hang-seo, menuduh pengadil, Rangsan Kangchainguan, sebagai tidak mempunyai integriti profesional kerana membenarkan masa tambahan yang lebih lama berbanding lima minit yang diumumkan.
Dan ini bukan kali pertama Hang-seo mengkritik mutu pengadilan liga divisyen Thailand itu apabila September lalu, turut mempersoalkan kredibiliti pengadil selepas pertemuan dengan Nakhon Pathom berakhir.
Situasi itu menyaksikan Kanchanaburi FC dibolosi pada lewat perlawanan untuk terikat 1-1 dengan Muang Loei United dalam perlawanan ketujuh Liga Thai 2 di Stadium Universiti Loei Rajabhat, semalam.
Thiago Moreira menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit keenam masa tambahan, sekali gus memastikan satu mata buat pasukan tuan rumah bagi memadam jaringan pembukaan Patrick Marcelino buat Kanchanaburi pada minit ke-75.
Perlawanan berakhir pada minit kelapan masa tambahan sejurus Kanchanaburi mengambil sepakan percuma. Hang-seo bergegas memasuki padang untuk bersemuka dengan Rangsan sebaik wisel ditiup, namun tindakannya dihalang oleh pembantu jurulatihnya sendiri serta pengadil keempat perlawanan.
Bekas pengendali Vietnam itu kemudian menuju ke arah terowong stadium dan sempat menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap penilai pengadil, Sakchai Paebua, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muang Loei, Nattakorn Pattanachaikul,
hingga memaksa pihak penganjur mengerahkan anggota polis untuk mengiringi pasukan pengadil selain menghalang jurulatih pelawat daripada mendekati mereka.
"Saya bukan bercakap soal menang atau kalah, tetapi apabila pengadil bertindak sebegini, ia merosakkan segala-galanya.
"Segala titik peluh, kerja keras, semangat dan masa yang dilaburkan — semuanya sia-sia begitu sahaja.
"Saya boleh sahaja letak jawatan maka tamatlah ceritanya. Tetapi adakah begini cara anda menguruskan bola sepak? Ia tidak akan pernah berkembang dengan cara sebegini.
"Jika saya benar-benar meletak jawatan, saya akan meluahkan pandangan saya secara terbuka mengenai bola sepak Thailand.
"Pengadil perlu menjalankan tugas mereka dengan hati nurani yang bersih," luahnya.
Nattakorn nyata kecewa dengan tindak tanduk Hang-seo serta penyokong Kanchanaburi dengan meluahkan di laman sosial dengan berkata: "Pada pandangan saya, pihak Kanchanaburi sendiri turut melengahkan masa dalam beberapa situasi.
"Begitulah lumrah bola sepak. Mustahil untuk semua pihak mendapatkan apa yang mereka hajati apabila wisel penamat dibunyikan."