Atlet renang para wanita Selangor, Alysha Aryana Mohd Khairul Azli, membuktikan bakat semula jadinya menandingi kerja keras apabila mengungguli acara 100 meter gaya bebas wanita S14, meskipun hanya berlatih selama seminggu.
Lebih manis, penampilan pertamanya dalam Para Sukan Malaysia (Sukma) turut menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri.
Bertanding tanpa tekanan, atlet berusia 12 tahun itu lebih mahu menikmati setiap renangan dan menganggapnya bukan suatu pertandingan.
Hasilnya, kuakan pingat emas menerusi catatan masa 1 minit 4.84 saat memadam rekod lama 1:7.34s yang diciptanya April lalu.
Mula menceburi sukan renang seawal usia lapan tahun atas dorongan ibu bapa bagi membina keyakinan di dalam air, ia kemudian menjadi rutin harian Alysha Aryana, malah turut berfungsi sebagai terapi buatnya.
Mengidolakan legenda renang Amerika Syarikat, Michael Phelps, Alysha Aryan berazam untuk merangkul lebih banyak pingat emas pada masa akan datang.
"Saya meminati Michael Phelps atas kejayaannya menggondol banyak pingat emas.
"Saya hanya membuat persiapan dalam tempoh seminggu, tapi itu bukan satu masalah dan saya tidak tertekan sebaliknya berasa seronok," katanya.
Menurut ibunya pula: "Dia sudah menyertai kem para Selangor sejak berumur 10 tahun lagi.
"Hanya renang berikan anak saya ketenangan -- tidak payah disuruh -- dan kalau tidak dalam segala hal dia memerlukan perhatian saya.
"Pada asalnya saya menghantarnya ke kelas renangan sejak kecil atas faktor untuk mendedahkannya dengan aspek keselamatan kerana kejadian bayi lemas di dalam tandas."