Dari seorang 'introvert' yang sukar untuk memberikan tumpuan, perenang Selangor yang menggondol tiga pingat emas dari kolam renang ini menyasar Anugerah Olahragawan Para Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Menambah nilai kelibat kali pertama Ahmad Darwisy Irfan Hishamuddin di pentas para Sukma, perenang istimewa ini turut mencipta tiga rekod kebangsaan menerusi 100 meter kuak lentang S13, 50 meter gaya bebas S13 dan 100 meter kuak dada S13.
Yang paling gembira semestinya ibu bapanya yang mengakui terbit rasa bimbang melihat kesulitan anak sulung mereka untuk berkomunikasi kerana hilang keyakinan diri di disebabkan kekurangan yang dihadapi.
"Saya sebenarnya tidak kisah asalkan dia dapat teruskan hidup.
"Sejak berenang, dia kini tampak keyakinan.
"Dia tidak aktif sejak sekolah rendah lagi dengan menghadapi masalah pembelajaran selain penglihatan," kata bapanya, Hishamuddin Yahya.
Selepas mengenali sukan renang sejak dua tahun lalu, Ahmad Darwisy kini tidak lagi seperti dulu.
Membuat penampilan kali pertama bukan di kolam kebiasaan, dia mengakui agak gugup.
Dengan kesulitan untuk melihat dengan jelas, bayangan kemenangan yang memihak kepadanya hanya terarah kepada sekumpulan penyokong Selangor menerusi warna merah kuning yang terlihat samar-samar di mata.
"Agak sukar untuk kawal renangan saya.
"Saya hanya teka sahaja catatan renangan saya dan tak sangka melepasi jangkaan," kata Ahmad Darwisy pula.