Atlet para Selangor, Muhammad Nazri Hazim, berharap untuk terus menikmati deria penglihatannya sehingga ke akhir hayatnya.
Dia dilahirkan buta atas sebab kegagalan sistem saraf tetapi mula mendapat penglihatannya ketika berusia empat tahun.
Keadaan itu tiada jaminan buat Nazri untuk kekal melihat tetapi dia tidak menganggap keadaan itu sebagai penghalang untuk dia merasai nikmat bergelar seorang atlet.
"Sewaktu saya kecil dahulu, saya pernah buta sehinggalah ketika berusia tiga atau empat tahun, barulah saya boleh melihat," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Sekarang pun saya tidak dapat melihat sepenuhnya cuma ketika berjalan, saya boleh mengagak apa yang berada di depan saya.
"Doktor kata ia disebabkan masalah saraf sejak saya lahir tetapi ia semakin membaik dari semasa ke semasa sehinggalah ia berhenti membaik sekarang.
"Saya pernah buta dan sudah pasti saya ada memikirkan jika saya buta kembali.
"Tetapi saya reda, jika Allah takdirkan saya buta kembali, saya terima."
Dalam penganjuran Para Sukma Selangor kali ini, Nazri mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T12, yang diraihnya dalam Para Sukma Sarawak dua tahun lalu, dengan catatan 6.50 meter.
Ia merupakan catatan peribadi terbaiknya setakat ini, yang turut mengatasi catatannya sewaktu memenangi pingat gangsa dalam Sukan Para ASEAN Korat tahun lalu.