Di sebalik kejayaan skuad renang para Selangor menyumbang 34 daripada 93 pingat emas kontinjen pada Para SUKMA Selangor 2026, terselit satu pengorbanan besar daripada atlet para negara, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan.
Imaan yang juga atlet renang Paralimpik negara kategori S14 sanggup mengetepikan peluang beraksi di pentas Para Asia 2026 demi memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai jurulatih skuad renang para Selangor.
Bekas pemegang rekod dunia 50 meter kuak lentang itu menganggap pengorbanan berkenaan berbaloi selepas menyaksikan atlet bimbingannya menyerlah sepanjang temasya.
Lebih membanggakan, kecemerlangan Ahmad Darwisy Irfan Hishamuddin dan Alysha Aryana Mohd Khairul Azli turut meletakkan renang Selangor sebagai antara penyumbang utama kejayaan kontinjen.
Imaan, yang pernah beraksi di Paralimpik Paris 2024, kini memberi tumpuan kepada misi peribadinya untuk melayakkan diri ke Paralimpik Los Angeles 2028.