Perenang Program Podium yang mewakili Sabah, Ethan Khoo Yin Jun, mengakui persaingan luar biasa dialaminya dalam penganjuran Sukan Para Sukma Selangor kali ini.
Tanpa berselindung, Ethan berkata dia dapat merasakan kedudukannya dalam Program Podium akan goyah seandainya tiada tindakan segera dilakukannya untuk mempertahankan keistimewaan selaku atlet di bawah program seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) itu.
"Saya perlu katakan yang Para Sukma di Selangor tahun ini, saya berdepan cabaran baharu, terutama apabila bersaing dengan perenang baharu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Saya katakan kepada diri saya untuk berlatih dengan lebih gigih agar saya masih boleh kekal dalam Program Podium."
Ethan memastikan pingat emas dalam acara 50 meter kuak lentang S12 menerusi catatan 29.86 saat tetapi Microsoft mengakui ia bukan aksi terbaiknya.
Edisi ini mungkin bukan yang terbaik untuknya tetapi dengan pencapaian dua emas dan satu perak, ia akan dijadikan sebagai pencetus semangat untuk dia meneruskan usaha menjamin kedudukannya sebagai perenang para negara.