Kurang meluangkan masa bersama keluarga, malah terpaksa melepaskan peluang menghadiri majlis perkahwinan kakak sendiri demi memberikan tumpuan kepada persiapan menghadapi PARA SUKMA 2026.
Namun segala pengorbanan atlet lontar peluru F34 Selangor, Taufik Hidayat Nasirdin, akhirnya terbayar apabila dia berjaya merangkul pingat emas pada penampilan keempatnya di temasya berkenaan.
Taufik muncul juara dengan lontaran terbaik sejauh 6.42 meter pada Ahad, sekali gus menghadiahkan emas Para SUKMA pertama dalam kariernya.
Biarpun bersyukur dengan kejayaan tersebut, atlet berkenaan mengakui masih belum berpuas hati apabila gagal memecahkan rekod peribadi 6.65 meter yang menjadi sasaran.
Bagaimanapun, prestasi itu tetap menjadi petunjuk positif buat Taufik apabila program latihan yang dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Selangor dilihat berada di landasan tepat.
Bekas atlet Kuala Lumpur itu mengakui banyak perubahan positif dirasainya sejak menyertai kontinjen Selangor tahun lalu, khususnya menerusi pendekatan latihan yang lebih sistematik.
Katanya, perubahan berkenaan membantu meningkatkan tahap persiapan dan prestasinya ketika beraksi dalam pertandingan.
Kini, Taufik pastinya mempunyai lebih banyak sebab untuk meneruskan usaha selepas pengorbanannya membuahkan hasil dengan emas Para SUKMA yang dinantikan.
"Sebelum ini kerap kali terlepas podium dan akhirnya berjaya memastikan pingat emas untuk Selangor. Saya telah berlatih sehingga terlepas hari terbaik dalam hidup kakak saya dalam memastikan kejayaan yang diraih ini," katanya.