Aksi final lompat jauh T20 menyaksikan penguasaan atlet kebangsaan tampil mendominasi saingan PARA SUKMA 2026.
Atlet lelaki Sabah, Eljoe Gotuoh, berjaya merealisasikan impian meraih hatrik emas Para SUKMA selepas menghasilkan lompatan terbaik sejauh 7.06 meter.
Biarpun masih mempunyai kelemahan dari aspek teknik pendaratan yang mengehadkan peluangnya mencatat jarak lebih jauh, Eljoe menyifatkan pencapaian tersebut sudah memadai.
Lebih-lebih lagi, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow itu mengakui dia gagal melepasi jarak tujuh meter sepanjang musim ini sebelum hadir dengan prestasi terbaik di pentas Para SUKMA.
"Ini PARA SUKMA ketiga saya dan saya meletakkan sasaran hatrik emas dan berjaya melunaskan sasaran itu,"katanya.
Dalam kategori wanita pula, wakil Terengganu, Nani Shahiera Zawawi, mencipta rekod temasya selepas meraih emas menerusi lompatan sejauh 5.13 meter.
Catatan itu memadam rekod terdahulu 5.06 meter, sekali gus mengukuhkan status Nani sebagai antara atlet yang perlu diberi perhatian.
Hanya tiga sentimeter dipisahkan Nani daripada rekod peribadi terbaiknya 5.16 meter yang dicatatkan pada Sukan Para ASEAN Kemboja 2023.
Justeru, pencapaian tersebut disifatkan sebagai petanda positif buat Nani menjelang Sukan Para Asia bulan depan.
"PARA SUKMA ini umpama latihan buat saya kerana saya meletakkan sasaran untuk menghadapi Sukan Para Asia nanti," kata Nani.