Muhammad Hafiq Hizan Norizan atau lebih mesra disapa 'Balau' bukan sahaja atlet pelapis kebangsaan dalam acara olahraga para, malah turut memanfaatkan media sosial sebagai platform mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Dengan puluhan ribu pengikut di media sosial, Balau menggunakan pengaruhnya untuk memperkenalkan sukan para kepada masyarakat selain berkongsi pengalaman dan perjalanan sebagai seorang atlet.
Baginya, golongan OKU tidak seharusnya hanya mendapat simpati, sebaliknya memerlukan peluang dan empati supaya mereka mempunyai ruang untuk membuktikan kemampuan sendiri.
Setiap perkongsian di media sosial juga bukan sekadar bertujuan menarik minat orang ramai untuk mengenali sukan para, tetapi turut mahu dijadikan sumber inspirasi dan rujukan kepada individu yang berminat untuk memulakan langkah sebagai atlet.
Lebih bermakna, pemenang lapan pingat termasuk tiga emas di Para SUKMA itu kini sering dihubungi untuk memberikan kata-kata semangat kepada individu yang baru kehilangan anggota badan.
Peranan tersebut pada awalnya tidak pernah dijangkakan Balau, namun kini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya dalam menggunakan pengalaman sendiri untuk membantu dan memberi motivasi kepada orang lain.
Buat Balau, kejayaan sebenar bukan hanya diukur menerusi pingat yang dimenangi, tetapi sejauh mana kisah dan pengalamannya mampu membuka mata masyarakat serta memberi keyakinan kepada golongan OKU untuk terus mengejar impian.
"Misi saya dalam media sosial adalah untuk mengetengahkan orang OKU untuk keluar daripada kelompok simpati dan bertukar arah kepada empati. Dengan adanya peluang, apa sahaja mampu dilakukan," katanya.
"Ada yang berhubung dengan saya bagaimana untuk memasuki sukan kelainan upaya dan saya banyak memberikan maklumat kepada mereka sementara memberikan motivasi supaya dapat meneruskan kehidupan."