Filem animasi Papa Zola The Movie terus mencipta fenomena apabila merekodkan kutipan pecah panggung mencecah RM55 juta setakat 6 Januari 2026.
Kutipan itu sekali gus meletakkan filem keluaran bersama MONSTA dan Astro Shaw ini di kedudukan lebih tinggi berbanding beberapa judul antarabangsa terkenal termasuklah Avatar: Fire and Ash yang mencatat kutipan sebanyak RM33 juta serta Zootopia 2 yang mencatat kutipan sebanyak RM32 juta.
Advertisement
Pencapaian luar biasa Papa Zola The Movie ini turut membuktikan bahawa filem animasi tempatan bukan sahaja berdaya saing malahan berjaya menewaskan filem bertaraf antarabangsa.
Ia juga membuktikan betapa padunya sokongan yang diberikan penonton Malaysia terhadap karya filem tempatan yang mempunyai jalan cerita begitu dekat dengan jiwa masyarakat seperti filem Papa Zola The Movie.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa lain bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, selain Vietnam dan pasaran Asia Barat yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.