Skip to main content

Badminton

Pang Ron-Su Yin bakal berpisah? Nova Widianto saran Toh Ee Wei tidak sertai Piala Uber

nova

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, memberikan bayangan gandingan, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, berkemungkinan beraksi buat kali terakhir di Kejohanan Badminton Asia, (BAC) 2026 di Ningbo, China sekiranya prestasi mereka terus tidak konsisten.

Untuk rekod, prestasi Pang Ron-Su Yin sebelum ini terhenti dalam pusingan awal di dua kejohanan lalu iaitu Seluruh England 2026 dan Terbuka Switzerland sekali gus menerbitkan pelbagai persoalan.

Advertisement

Menurut Nova Widianto, wakil negara di ranking ke-24 dunia itu  masih bergelut untuk menampilkan prestasi konsisten, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap masa depan gandingan itu.

Berpisah atau tidak segalanya akan diputuskan usai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China pada 7 hingga 12 April nanti.

"Kita lihat bagaimana selepas BAC ini bagaimana nanti, ada potensi bertukar gandingan. Sudah tewas awal beberapa kali, jadi agak sukar dikembalikan semula," katanya.

Dalam perkembangan sama, pemain beregu campuran,  Toh Ee Wei, dinasihatkan untuk tidak menyertai skuad ke Piala Uber.

Keputusan itu dibuat bagi memberikan peluang kepada pemain pelapis seperti gandingan Carmen Tin- Ong Xin Yee, Low Zhi Yu- Aqilah Maisarah untuk menimba pengalaman di pentas antarabangsa.

Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh barisan  pemain negara selain membina kekuatan jangka panjang pasukan badminton negara.

"Daripada saya sendiri lebih baik mereka fokus kepada pemain muda, lebih bagus buat pengalaman pemain muda kerana Piala Uber kejohanan yang besar.

"Sayang kalau tukar gandingan yang belum pasti sumbangkan mata, saya rasa Toh Ee Wei tidak masalah." tambahnya.

 

Must Watch Video