Bekas ketua prestasi pasukan UCI Women’s Continental Hess Team, Ladislav Demko, telah digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan lumba basikal selama 10 tahun oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kerana beberapa pelanggaran kod etika.
Badan bebas, Suruhanjaya Etika UCI , mendapati bahawa Demko telah gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan dan menyalahgunakan kedudukan kuasanya.
Ia menyatakan bahawa siasatan telah dimulakan susulan aduan daripada bekas kakitangan Hess Cycling Team dan seorang pelumba yang menjalinkan hubungan suka sama suka dengan Demko ketika dia menjadi jurulatihnya, berkaitan dakwaan gangguan dan penderaan psikologi.
Demko telah melakukan tindakan pengasingan, penghinaan, intimidasi dan layanan yang memperlakukan pelumba itu seperti kanak-kanak, menurut kenyataan suruhanjaya tersebut.
Ladislav Demko slammed with extreme penalty after UCI ethics commission finds him guilty of severe ethical breaches while working at Hess Cycling Team:https://t.co/HtCCeeoQiF pic.twitter.com/9QmY7f1CjZ
— Velo (@velovelovelo__) September 18, 2026
Demko mendakwa tuduhan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati dua kakitangan yang telah diberhentikan oleh pasukan itu.
"Saya tidak mahu menghabiskan wang simpanan saya dan telah memutuskan untuk meninggalkan dunia lumba basikal profesional buat selama-lamanya," katanya kepada Reuters.
Individu dari Slovakia itu berkata belum menggunakan haknya untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), namun akan memohon agar kes itu dibuka semula pada masa hadapan.
Demko diarahkan membayar denda serta kos prosiding undang-undang. Jumlah bayaran tersebut tidak didedahkan.
Hess Cycling Team ditubuhkan pada tahun 2023, namun pada bulan Ogos 2025, pemiliknya Rolf Hess -- seorang ahli perniagaan dari Switzerland -- mengumumkan di Instagram bahawa pasukan itu telah menghentikan operasi atas sebab kewangan.