Tidak dinafikan, Joao Figueiredo, merupakan aset penting Johor Darul Ta'zim (JDT).
Penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atas hukuman isu dokumentasi mengakibatkan bintang Harimau Malaya itu tidak dapat beraksi bersama Malaysia mahupun JDT sejak berita malang pada 26 September lalu.
Advertisement
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengakui Harimau Selatan sedikit terkesan ekoran kehilangan khidmat penyerang serba boleh itu yang mampu mengucar-kacirkan pasukan lawan.
"Sebenarnya, yang paling saya rindukan sangat ialah Figo si botak.
"Dia yang saya sangat rindukan.
"Tetapi, buat masa ini dia menghadapi penggantungan. Jadi, kita harus menunggu proses perbicaraan tersebut.
"Dia adalah kunci utama untuk rakan sepasukan di sekelilingnya bermain.
"Figueiredo seperti Diogo. Arif Aiman Hanapi dan Gonzalo Cabrera mengutip banyak jaringan disebabkan peranan Diogo.
"Saya lebih suka penyerang seperti itu. Itulah pandangan saya.
"Bagaimanapun, kita harus mempunyai dua pemain dengan peranan berbeza," kata baginda.
Kata Pemangku Sultan Johor itu, juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu perlu menggunakan dua penyerang yang tersedia iaitu Bergson Da Silva dan Jairo Da Silva, selain Romel Morales juga mengalami kecederaan.
Dalam satu sesi pertemuan bersama peminat, pemilik JDT itu juga sah akan menandatangani tiga pemain baharu menjelang jendela perpindahan bulan depan.