Skip to main content

Bola Sepak

Palestin batal perlawanan persahabatan di Maghribi akibat krisis Timur Tengah

Palestin batal perlawanan persahabatan di Maghribi akibat krisis Timur Tengah

Pasukan kebangsaan Palestin terpaksa membatalkan dua aksi persahabatan di Maghribi susulan gangguan perjalanan yang serius akibat konflik yang sedang memuncak di Timur Tengah.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), skuad senior tidak dapat menyertai kem latihan serta perlawanan menentang Benin dan Mauritania yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Advertisement

Pembatalan tersebut berpunca daripada situasi keselamatan yang tidak menentu, termasuk penutupan lapangan terbang dan gangguan penerbangan di beberapa hab utama rantau Teluk.

“Keselamatan pemain serta barisan kejurulatihan dan pegawai menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan rasmi PFA.

Difahamkan, sebahagian besar pemain Palestin beraksi di liga-liga Timur Tengah, sekali gus menyukarkan perjalanan mereka ke Maghribi dalam keadaan semasa.

Perlawanan tersebut sepatutnya menjadi sebahagian daripada persiapan Palestin menghadapi Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.

Krisis geopolitik di rantau itu, khususnya melibatkan konflik antara Iran serta pakatan Amerika Syarikat dan Israel, telah memberi kesan besar kepada dunia sukan. Selain bola sepak, beberapa acara sukan lain turut ditangguhkan atau dibatalkan akibat isu keselamatan dan sekatan perjalanan.

Situasi ini sekali lagi menunjukkan bagaimana ketegangan geopolitik mampu menjejaskan perancangan sukan antarabangsa, termasuk persiapan pasukan kebangsaan menjelang kejohanan utama.

Must Watch Video