Juara dunia Interim Muay Thai Strawweight One Championship negara, Aliff Rakib, sah bakal berdepan juara dunia seorang lagi jaguh divisyen sama, Prajanchai PK Saenchai, di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada 18 Disember 2026.
Pertembungan dua jaguh ini bakal menyatukan kedua-dua kejuaraan, sekali gus menokhtakan pemenang perlawanan yang akan diangkat sebagai Juara Dunia ONE Strawweight Muay Thai yang mutlak.
Perlawanan yang amat ditunggu-tunggu peminat Muay Thai seluruh dunia ini sudah tertangguh lama setelah Prajanchai mengalami kecederaan jari yang memerlukan pembedahan dilakukan sebelum ini -menyaksikan dia tidak dapat bertemu Aliff Rakib--. Kecederaan itu dialami Prajanchai semasa berjaya mengatasi Jonathan Di Bella pada Oktober 2025.
Jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib sudah pasti menyasarkan kejuaraan dunia mutlak itu setelah melakar sejarah menjadi peninju negara pertama memenangi gelaran Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai apabila berjaya menumpaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi 'knockout' (KO) pada Julai lalu.
Aliff ketika ini berada dalam prestasi terbaik sepanjang kariernya, memenangi kesemua enam perlawanan terakhir yang dihadapinya.