Petarung Jepun, Nadaka Yoshinari, melakar kemenangan buat kali ke-42 berturut-turut selepas menewaskan lawan dari Myanmar, Har Ling Om, dalam pertarungan ONE Samurai 3 di Yokohama, malam tadi.
Untuk rekod, Nadaka yang memegang gelaran juara dunia ONE Atomweight Muay Thai itu bakal berdepan petarung muay thai negara, Rifdean Masdor, dalam acara ONE SAMURAI 4 di Ariake Arena, Tokyo, Jepun, 17 Oktober depan.
Pertembungan itu menyaksikan Rifdean, yang turut dikenali dengan julukan 'Magic Boy', merebut tali pinggang kejuaraan daripada Nadaka di hadapan penyokong jaguh tuan rumah sendiri.
Kemenangan bakal meletakkan nama petarung berusia 23 tahun itu dalam sejarah sebagai juara dunia ONE kedua dari Malaysia selepas Aliff Sor Dechapan, yang merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight bulan lalu.
Nadaka muncul juara sulung divisyen atomweight selepas menewaskan Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara pada ONE 173, November lalu, sebelum mempertahankan gelaran dengan kemenangan ke atas seteru lamanya, Songchainoi Kiatsongrit di ONE SAMURAI 1 pada April.