'Kejayaan tetap hadir bersama ruang penambahbaikan' -- itu reaksi jurulatih 110 meter lari berpagar negara, Zainudin Yusoff susulan pencapaian Mohamad Armin Zahryl Abd Latif melakar dua rekod kebangsaan dalam tempoh 24 jam sewaktu beraksi di Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 tahun.
Zainudin mengakui berpuas hati dengan prestasi atlet pecut muda kebangsaan itu yang menepati jangkaannya, catatan 13.63 saat di separuh akhir dan 13.58s di pentas akhir cukup membuktikan perancangan yang diatur memberi impak realistik.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna larian Armin tiada cacat cela.
Jelas Zainudin, beberapa kelemahan telah dikenal pasti dan akan segera diperbaiki bagi memastikan dia lebih konsisten.
Kejayaan tersebut diharap menjadi pemangkin motivasi buat atlet berusia 21 tahun itu untuk terus cemerlang dalam kejohanan terhampir iaitu temasya Sukma mewakili kontinjen Terengganu.