Penjaga gol berstatus legenda, Guillermo Ochoa, bukan nama asing setiap kali tirai Piala Dunia dibuka, apabila aksinya sering mencuri tumpuan dunia dengan deretan aksi menyelamat luar biasa yang sering ditampilkannya.
Pada usia 40 tahun, Ochoa sekali lagi membuktikan bahawa pengalaman dan ketenangan menjadi aset terpenting apabila dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan Mexico bagi menghadapi aksi pemanas badan menentang Portugal dan Belgium, sekali gus membuka peluang untuk dia mencipta sejarah sebagai pemain yang beraksi dalam enam edisi Piala Dunia.
Advertisement
Panggilan semula itu diumumkan ketua jurulatih Mexico, Javier Aguirre, yang menyenaraikan Ochoa sebagai antara tonggak berpengalaman bagi memperkukuh benteng terakhir pasukan menjelang kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Ochoa sebelum ini mencipta reputasi sebagai antara penjaga gol terbaik Piala Dunia apabila mempamerkan prestasi luar biasa dalam lima edisi berturut-turut sejak penampilan sulungnya pada 2006.
Ketangkasannya menafikan percubaan penyerang bertaraf dunia menjadikan dia antara ikon yang sentiasa diingati peminat bola sepak global.
Walaupun tidak dipanggil sejak Mei tahun lalu ketika disenaraikan dalam skuad Piala Emas tanpa sebarang penampilan, pengalaman luas yang dimiliki Ochoa jelas masih diperlukan dalam kem Mexico.
Mexico dijadual berdepan Portugal pada 28 Mac dalam aksi pembukaan semula Stadium Azteca di Mexico City selepas kerja naik taraf menjelang Piala Dunia, sebelum menentang Belgium tiga hari kemudian di Soldier Field, Chicago.
Mexico yang juga tuan rumah bersama kejohanan itu bakal memulakan kempen Kumpulan A dengan aksi pembukaan menentang Afrika Selatan pada 12 Jun.