Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, percaya Kejohanan NSTDP Peringkat Kebangsaan mampu menjadi medan terbaik bagi melahirkan lebih ramai bakat pelapis yang berpotensi untuk mewakili negara pada masa akan datang.
Perkembangan positif itu dapat dilihat ketika penganjuran edisi sulung saingan tersebut yang berlangsung di UiTM Shah Alam yang menampilkan 33 pasukan lelaki serta tujuh pasukan perempuan melabuhkan tirainya semalam/
Advertisement
Abdul Puhat turut memberi jaminan bahawa PSM sentiasa akan memastikan program akar umbi menjadi antara agenda utama badan induk sepak takraw negara itu.
"Tahun ini kami menumpukan (pencarian bakat) di peringkat umur 14 dan 16 tahun.
"Kalau penganjuran kali ini setahun sekali, mungkin pada tahun depan kami mungkin buat tiga kali.
"Kami (bercadang) adakan secara peringkat zon serta diselang seli melibatkan Sabah dan Sarawak.
"Proses ini akan berterusan selama empat tahun hingga pemain itu menghabiskan pelajarannya sebelum kami meneruskan pengajian di peringkat universiti.
"Kami sedang berbincang dengan pihak universiti untuk mereka melanjutkan pelajaran," katanya.
Dalam pada itu, antara yang mencuri tumpuan sepanjang kejohanan itu berlangsung ialah kelibat kapten regu perempuan Pahang B-16, Suriza anak perempuan Jefri, yang membantu pasukannya menamatkan saingan di kedudukan ketiga terbaik.
Suriza yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau, Kuala Lipis itu berkongsikan impiannya untuk menyarung jersi skuad negara pada satu hari kelak.
"Kami bangga dapat mewakili warga orang asli dan mewakili Malaysia pada satu hari nanti," katanya pula.